I.
ZUBIR BIN MAT ISA
Zubir bin Mat Isa adalah
pengasas dan Guru Utama Silat Seni Pusaka Tujuh (SSPT). Dilahirkan pada 17 Mei
1964 di Padang Besar Utara, Perlis. Beliau membesar sebagai anak sempadan
Thailand dan Malaysia dan terdedah dengan suasana yang bergolak dengan kegiatan
P.K.M.(Parti Kominis Malaya), samseng,penyeludupan,pelacuran dan berbagai bagai
gejala liar dan ganas di sempadan ketika itu yang digelar ‘cowboy town’.
Keadaan yang tidak aman dan sentiasa terjadi tembak menembak, perkelahian dan
gejala samseng telah menyebabkan beliau meminati aliran seni mempertahankan
diri. Pada awal remajanya beliau terdedah dengan aliran Muay Thai atau Siamese
Tomoi, kerana Muay Thai adalah antara budaya seni bela diri yang ada di
sempadan ketika itu. Apabila usianya meningkat 13 tahun, beliau mempelajari
aliran kebatinan yang dikenali sebagai Seni Persaudaraan Nasrul Haq. Tetapi
beliau terpaksa berhenti kerana dihalang oleh ayahnya dari terus mempelajari
Nasrul Haq, kerana menurut ayahnya silat itu bertentangan dengan syariat Islam.
Ayah Guru
Utama bernama Mat Isa Bin Osman dan mempunyai berbagai gelaran antaranya Lebai
Isa, Lebai Jawa dan gelaran dalam dunia kemegahan laduni adalah Lebai Jawa Anak
Rimau. Beliau adalah tokoh pondok, Kalifah bayangan Tarikat Suluk dan seorang
yang digeruni kerana garangnya. Apabila beliau menerima ajaran Islam menurut
Al-Quran dan As-Sunnah, beliau meninggalkan segala amalan khurafat dan syirik
serta keluar dari tarikat Suluk. Beliau kemudiannya menjadi imam masjid Padang
Besar Utara, Perlis dan mengajar agama serta Al-Quran kepada anak kariah.
Beliau sangat bimbang anaknya menjadi sesat dengan mempelajari ilmu silat kerana
sejauh pengalamannya, dia belum menemui silat yang tidak ada di dalamnya ajaran
sesat atau khurafat.
Guru Utama adalah
berketurunan Jawa, keturunannya berdagang dari Sumatera ketanah Melayu dan
membuka tanah penempatan di kawasan Alor Ara, mukim Sungai Adam, Mata
Ayer,Perlis. Guru Utama sememangnya dari keturunan pendekar dan keturunannya
mewarisi Seni Gayung Asli dari Tanah Seberang sebagai silat keluarga dan amat
kuat dengan amalan saka yang digelar ‘Ledang’(sejenis harimau jadian).
Tetapi
apabila ayah Guru Utama menerima pegangan agama Islam yang benar dari berbagai
guru semasa itu dan mendalaminya dengan bersungguh sungguh, beliau menolak
segala amalan khurafat, seperti silat warisan keluarganya juga saka ‘Ledang’
peliharaan keluarganya.Ayahnya amat melarang menuntut ilmu silat kerana padanya
ilmu itu penuh dengan khurafat dan kesyirikan. Disebabkan perkara inilah, Guru
Utama amat sukar untuk mempelajari ilmu silat. Pada tahun 1978, Zubir bin Mat
Isa bertemu dengan seorang pendekar yang sangat terkenal semasa muda kerana
kehebatan ilmunya, pernah mengalahkan askar Jepun yang bersenjata hanya dengan
tangan kosong. Beliau bernama Penghulu Yusuf bin Abdullah atau di kenali
sebagai Pak Choh Tok Ie’. Pak Coh Tok Ie’ pernah mengalahkan seorang pegawai
askar Jepun yang bersenjatakan pedang samurai dengan hanya menggunakan tangan
kosong di sebuah tempat bernama Bukit Keteri. Disebabkan kejadian tersebut
pegawai askar Jepun itu menjadi kagum dan mengangkat Pak Coh menjadi Penghulu
di Kampong Peruah, Tok Kayaman, Perlis.
Tentera Jepun
menghadiahkan sepasang pedang samurai serta sebuah basikal sebagai tanda
penghargaan kepada Pak Choh. Beliau adalah antara pendekar Silat Terelak yang
mendidik Zubir Mat Isa dengan ilmu silat yang hebat dari segi latihan dan buah
pukulannya. Ini adalah disebabkan pengalaman Pak Choh yang banyak dalam bertarung
di dalam gelanggang, beliau adalah antara juara gelanggang silat yang tidak
pernah dikalahkan di tempatnya semasa itu. Namun Zubir Mat Isa tidak dapat
berguru lama dengan Penghulu Yusuf bin Abdullah kerana ayahnya Lebai Isa (Mat
Isa) menyuruhnya berhenti dari berguru dengan Pak Choh.
Akhirnya Guru
Utama telah membawa diri ke Kuala Lumpur ketika usia lebih kurang lima belas (15) tahun. Beliau terpaksa meninggalkan Perlis atas nasihat pasukan Polis dan Wakil
Rakyat Kawasan Padang Besar Goh Eng Ton dan cadangan tersebut disokong oleh
ayahnya Mat Isa. Kejadian ini berlaku kerana Guru Utama yang semasa itu adalah
Ketua Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 16 ( kini namanya ditukar
menjadi Sekolah Menengah Raja Puan Muda Tengku Fauziah ), beliau terlibat dalam
satu pergaduhan besar dengan kumpulan orang cina Pekan Sayur, Kaki Bukit,
Perlis yang menyerang sekolah tersebut. Zubir Mat Isa adalah seorang Ketua
Pengawas paling muda di Perlis pada tahun 1979, beliau dipilih kerana tegas
dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang Pengawas semasa sekolah.
Pergaduhan itu berlaku di antara kumpulan kongsi gelap cina dan pelajar melayu.
Kerana keberaniannya mempertahankan sekolah bersama seorang teman
seperguruannya Syed Tarmizi dan seorang guru wanita di sekolahnya yang bernama
cikgu Asmah, Zubir Mat Isa telah diugut untuk dibunuh. Maka disebabkan kejadian
tersebut beliau telah dinasihatkan pindah dari Perlis untuk menjamin
keselamatan diri beliau.
Semasa di
Kuala Lumpur beliau menetap di Kampung Pandan, di rumah abang iparnya. Di sini
beliau berjinak-jinak dengan silat sambil beliau mendalami ilmu beladiri Jepun
Karate do dan Tai Chi. Kesempatan berjauhan dengan bapanya di gunakan sebaik
mungkin untuk mempelajari ilmu beladiri. Di antara silat yang sempat dipelajari
semasa di Kampung Pandan adalah Depowoojo (silat Jawa) dan Gerak Alam Suci.
Tetapi lebih kurang setahun setengah selepas itu, beliau telah menghadapi
krisis keluarga dengan abang iparnya. Ianya berpunca daripada pendiriannya yang
berbeza dan akibat campur tangan ayahnya Lebai Isa telah menyebabkan beliau
keluar dari Kampung Pandan dan memulakan perantauan.
Beliau
merantau ke merata tempat seperti Indonesia selama lebih 3 bulan dan semenanjung Malaysia. Beliau merantau sambil mencari ilmu dan mendalami berbagai ilmu
silat, perubatan tradisi Melayu dan juga ilmu agama. Akhirnya setelah beberapa
tahun beliau merantau dan mempelajari ilmu silat Melayu dan Pencak Silat
Indonesia (Cimande), Zubir Mat Isa kembali ke Perlis. Namun kepulangannya tidak
dapat merapatkannya dengan keluarganya kerana pendirian dan cara hidupnya tidak
dapat diterima oleh keluarganya. Beliau terpulau oleh keluarganya sendiri,
tetapi ini semua tidak pernah mematahkan semangatnya. Zubir Mat Isa terus
merantau dan mula mengajar ilmu silat yang dipelajarinya. Di sebabkan banyak
aliran silat yang di pelajarinya, beliau telah menghadapi masalah tentang cara
mana hendak mengajar kepada muridnya.
Bermula dari
cara yang tidak tersusun Zubir Mat Isa telah menyusun latihan dan jurus
sehingga menjadi satu silibus yang merangkumi berbagai teknik dan taktik dari
berbagai alam persilatan dan silibus inilah yang di namakan Pusaka Tujuh.
Akhirnya
Zubir Mat Isa terus maju dengan perkembangan silatnya dan membuka kelas latihan
silat di serata tempat di Perlis. Bermula dengan cabaran demi cabaran dari
keluarga, masyarakat dan rakan-rakannya, beliau menempuh berbagai kegagalan ketika
mula mengajar silat kerana kurang pengetahuan tentang cara mengajar, akhirnya
kini Pusaka Tujuh telah menjadi sebuah Pertubuhan silat berdaftar dan di segani
kawan dan lawan.
Silat Pusaka
Tujuh telah berkembang ke Perancis, Jerman, Sweden dan Thailand. Guru Utama
Zubir Mat Isa berjaya menjadi Wasit/Juri kelas Antarabangsa (Pengadil silat)
dan isteri keduanya menjadi juara dua Kejuaraan Silat Sedunia. Beliau mempunyai
anak seramai sembilan orang dan kesemuanya terlibat dalam alam persilatan. Mereka berjaya
melonjakkan diri dalam dunia persilatan dengan menjuarai beberapa kejuaraan
antaranya : Zulfakar Zubir juara remaja kebangsaan sebanyak dua kali,
Zulkarnian Zubir juara remaja kebangsaan. Demikian juga dari anak anak murid
Pusaka Tujuh yang lain, mereka berjaya di peringkat negeri dan kebangsaan.
Sebenarnya
ramai yang tidak memahami perjalanan hidup yang cuba ditempuh oleh Zubir Mat
Isa. Beliau inginkan sesuatu yang berbeza dalam kehidupannya, gemarkan cabaran,
suka membina suatu yang baru dalam kehidupan tetapi benci kepada sikap suka
meniru budaya atau cara hidup orang lain.
Falsafahnya
‘Jika ingin maju dan berjaya, pastikan kita tidak menyamai jalan orang orang
yang gagal.’Walaupun ayahnya Mat Isa bin Osman menetang dan tidak dapat
memahami apa yang di lakukan oleh Zubir Mat Isa tetapi apabila melihat sendiri
bagaimana Silat Pusaka Tujuh berkembang tanpa sebarang aliran kebatinan, malah
Pusaka Tujuh sangat menentang amalan kebatinan di dalam persilatan, Mat Isa
Osman akhirnya menyokong perjuangan Zubir Mat Isa, sebelum meninggal dunia.
Beliau mewasiatkan sebidang tanah diwakafkan untuk tujuan kebajikan yang di
lakukan oleh kumpulan silat Pusaka Tujuh.
Kini Silat
Seni Pusaka Tujuh telah pun mendapat kelulusan Majlis Fatwa Negeri Perlis
bahawa Pusaka Tujuh bersih dari segala macam amalan yang bertentangan dengan
syarak. Silat Pusaka Tujuh menurut Majlis Fatwa Negeri Perlis harus di pelajari.
Silat Pusaka Tujuh tidak mempunyai amalan kebatinan tetapi guru Utama telah
Berjaya mencipta kekuatan dalaman yang di hasilkan secara pergerakkan dan
penumpuan fikiran yang di namakan pancaindera keenam. Di mana untuk mendapat
kekuatan dalaman ini persilat memerlukan kesungguhan latihan, keyakinan yang
jitu dan semangat yang tinggi.
II.
MAT ISA BIN OSMAN
Mat Isa Bin
Osman adalah bapa Zubir bin Mat Isa dan mempunyai berbagai gelaran antaranya
Lebai Isa, Lebai Jawa dan gelaran dalam dunia kemegahan laduni adalah Lebai
Jawa Anak Rimau. Beliau adalah tokoh pondok, Kalifah Bayangan Tarikat Suluk dan
seorang yang digeruni kerana garangnya. Apabila beliau menerima ajaran Islam
menurut Al-Quran dan As-Sunnah, beliau meninggalkan segala amalan khurafat dan
syirik serta keluar dari tarikat Suluk. Beliau kemudiannya menjadi imam masjid
Padang Besar Utara, Perlis dan mengajar agama serta Al-Quran kepada anak
kariah. Beliau sangat bimbang anaknya menjadi sesat dengan mempelajari ilmu
silat kerana sejauh pengalamannya ia belum menemui silat yang tidak ada di
dalamnya ajaran sesat atau khurafat.
Mat Isa bin
Osman menetang dan tidak dapat memahami apa yang di lakukan oleh Zubir Mat Isa
tetapi apabila melihat sendiri bagaimana Silat Pusaka Tujuh berkembang tanpa
sebarang aliran kebatinan, malah Pusaka Tujuh sangat menentang amalan kebatinan
di dalam persilatan, Mat Isa Osman akhirnya menyokong perjuangan Zubir Mat Isa,
sebelum meninggal dunia. Beliau mewasiatkan sebidang tanah diwakafkan untuk
tujuan kebajikan yang di lakukan oleh kumpulan silat Pusaka Tujuh.
III.
Penghulu
Yusuf bin Abdullah atau di kenali sebagai Pak Choh Tok Ie’.
Pada tahun
1978, Zubir bin Mat Isa telah bertemu dengan beliau, seorang pendekar yang
sangat terkenal kerana kehebatan ilmunya semasa muda. Beliau adalah antara
pendekar silat Terelak yang mendidik Zubir Mat Isa dengan ilmu silat yang hebat
dari segi latihan dan buah pukulannya. Beliau bernama Yusuf bin Abdullah atau
di kenali sebagai Pak Choh Tok Ie’.
Pak Coh Tok
Ie’ pernah mengalahkan seorang pegawai askar Jepun yang bersenjatakan pedang
samurai dengan hanya menggunakan tangan kosong di sebuah tempat bernama Bukit
Keteri. Disebabkan kejadian tersebut pegawai askar Jepun itu menjadi kagum dan
mengangkat Pak Coh menjadi Penghulu di Kampong Peruah, Tok Kayaman, Perlis.
Tentera Jepun
menghadiahkan sepasang pedang samurai serta sebuah basikal sebagai tanda penghargaan
kepada Pak Choh. Ini adalah disebabkan pengalaman Pak Choh dalam pertarungan di
gelanggang yang hebat, beliau adalah di antara juara gelanggang silat yang
tidak pernah dikalahkan di tempatnya semasa itu. Namun Zubir Mat Isa tidak
dapat berguru lama dengan Penghulu Yusuf bin Abdullah kerana ayahnya Lebai Isa
(Mat Isa) menyuruhnya berhenti dari berguru dengan Pak Choh.