Recent Posts

Pages

Wednesday, November 20, 2013

SEJARAH PUSAKA TUJUH

SEJARAH PERTUBUHAN SILAT SENI PUSAKA TUJUH

Silat Seni Pusaka Tujuh diasaskan daripada gabungan pelbagai kemahiran seni beladiri yang telah dipelajari dan disilibuskan dengan membuang apa sahaja elemen kebatinan dari seni beladiri tersebut oleh Guru Utamanya, Encik Zubir bin Mat Isa. Antara seni beladiri yang dipelajari oleh beliau daripada usia remaja sehinggalah disusun menjadi Silat Seni Pusaka Tujuh ialah Muay Thai , Seni Persaudaraan Nasrul Haq, Silat Terelak, Karate do, Tai Chi, Depowoojo (silat Jawa) dan Gerak Alam Suci Pencak Silat Indonesia (Cimande).
Bermula dari cara yang tidak tersusun, Zubir Mat Isa telah menyusun latihan dan jurus sehingga menjadi satu silibus yang merangkumi berbagai teknik dan taktik dari berbagai asas persilatan serta seni beladiri dan silibus inilah yang di namakan Pusaka Tujuh.
Akhirnya Zubir Mat Isa terus maju dengan perkembangan silatnya dan membuka kelas latihan silat di serata tempat di Perlis. Bermula dengan cabaran demi cabaran dari keluarga, masyarakat dan rakan-rakannya, beliau menempuh berbagai kegagalan diawal mengajar silat kerana kurang pengetahuan tentang cara mengajar, akhirnya kini Pusaka Tujuh telah menjadi sebuah Pertubuhan silat berdaftar dan di segani kawan dan lawan.
            Silat Pusaka Tujuh telah berkembang ke Perancis, Jerman, Sweden dan Thailand. Guru Utama Zubir Mat Isa berjaya menjadi Wasit/Juri kelas antarabangsa (Pengadil silat) dan isteri keduanya menjadi juara dua Kejuaraan Silat Sedunia. Beliau mempunyai anak seramai sembilan orang dan kesemuanya terlibat di dalam alam persilatan. Mereka berjaya melonjakkan diri dalam dunia persilatan dengan menjuarai beberapa kejuaraan antaranya : Zulfakar Zubir juara remaja kebangsaan sebanyak dua kali, Zulkarnian Zubir juara remaja kebangsaan. Demikian juga dari anak anak murid Pusaka Tujuh yang lain, mereka berjaya di peringkat negeri dan kebangsaan.
Sebenarnya ramai yang tidak memahami perjalanan hidup yang cuba ditempuh oleh Zubir Mat Isa. Beliau inginkan sesuatu yang berbeza dalam kehidupannya, gemarkan cabaran, suka membina suatu yang baru dalam kehidupan tetapi benci kepada sikap suka meniru budaya atau cara hidup orang lain.
Falsafahnya ‘Jika ingin maju dan berjaya, pastikan kita tidak menyamai jalan orang orang yang gagal.’Walaupun ayahnya Mat Isa bin Osman menetang dan tidak dapat memahami apa yang di lakukan oleh Zubir Mat Isa tetapi apabila melihat sendiri bagaimana Silat Pusaka Tujuh berkembang tanpa sebarang aliran kebatinan, malah Pusaka Tujuh sangat menentang amalan kebatinan di dalam persilatan, Mat Isa Osman akhirnya menyokong perjuangan Zubir Mat Isa, sebelum meninggal dunia. Beliau mewasiatkan sebidang tanah diwakafkan untuk tujuan kebajikan yang di lakukan oleh kumpulan silat Pusaka Tujuh.
Kini Silat Seni Pusaka Tujuh telah pun mendapat kelulusan Majlis Fatwa Negeri Perlis bahawa Pusaka Tujuh bersih dari segala macam amalan yang bertentangan dengan syarak. Silat Pusaka Tujuh menurut Majlis Fatwa Negeri Perlis harus di pelajari. Silat Pusaka Tujuh tidak mempunyai amalan kebatinan tetapi guru Utama telah Berjaya mencipta kekuatan dalaman yang di hasilkan secara pergerakkan dan penumpuan fikiran yang di namakan pancaindera keenam. Di mana untuk mendapat kekuatan dalaman ini persilat memerlukan kesungguhan latihan, keyakinan yang jitu dan semangat yang tinggi.

0 comments:

Post a Comment