Asal-usul Silat Terolak di Perlis
Silat Terolak mula dipelajari oleh Guru Utama pada tahun 1978 di sebuah kampung bernama Perawah, (mungkin) kawasan Dato Kayaman berhampiran Kampung Ngulang, Perlis.
Silat ini diajar oleh seorang penghulu yang bernama Yusuf bin Abdullah atau dikenali sebagai Pak Choh Tok Ie . Beliau berumur sekitar 80 tahun dan dilantik sebagai penghulu oleh tentera Jepun pada suatu masa dahulu.
Penghulu Yusuf adalah antara pendekar-pendekar negeri Perlis yang masih tersisa pada masa itu.
Silat Terolak diceritakan berasal dari Tanah Sumatera, dibawa ke Tanah Melayu atau negeri Perlis khususnya oleh abang ipar kepada Pak Choh Tok Ie @ Penghulu Yusuf Abdullah.
Akhirnya, Pak Choh mengembangkan silat ini kepada beberapa orang. Antaranya adalah Guru Utama sendiri, En Zubir bin Mat Isa, Said Tarmizi bin Said Hamdan dan En Misli yang merupakan seorang anak murid mahir dan banyak mempelajari silat Terolak ini.
Teknik Silat Terolak
Silat ini lebih mefokuskan cara tempur atau lebih mementingkan teknik-teknik cara berlawan.
Semasa mempelajari silat ini, tidak banyak gerak tari yang diajarkan oleh jurulatih. Jurus-jurus atau tari seperti gerak tari helang, tari kera, gerak harimau tidak banyak diajar kerana silat ini lebih ke arah gerak tempur pendekar seperti menangkis, menyerang dan teknik kuncian yang tersendiri.
Terolak banyak menggunakan kaedah serangan tangan dan kurang menggunakan serangan kaki.
Kehebatan silat ini adalah kecepatan dan teknik serangan tangannya yang mengelirukan. Lazimnya silat Terolak menyerang lawan dari arah sisi tubuh individu tersebut.
Terolak adalah gerak silat yang mengutamakan latihan fizikal secara berterusan, mementingkan kecepatan tangan dengan tekun berlatih dan inilah ciri-ciri silat Terolak yang dipelajari oleh Guru Utama. Silat yang amat menitikberatkan latihan fizikal untuk memantapkan serangan.
Selain itu, silat Terolak mendidik pelatihnya bersikap rajin, bersungguh-sungguh dan memiliki ketahanan diri yang tinggi untuk mencapai tahap-tahap seperti Perlimau Satu, Perlimau Dua dan seterusnya.
Pada masa dahulu, silat ini turut terikat dengan pelbagai kaedah tradisional seperti mempunyai Tapak Perguruan walaupun gerak tarinya tidak terlalu lama. Tapak Perguruan Terolak tidak mempunyai pola tapak empat kerana hanya mempunyai pola langkah maju dan undur sahaja.
Silat Terolak tidak mempunyai terlalu banyak teknik latihan tetapi fokus kepada teknik serangan, tangkisan dan kuncian yang berkesan.
Silat ini tidak ada jurus serangan atau kawad silat yang khusus. Sekiranya ada sekarang ini, ianya adalah modul yang direka untuk memudahkan pembelajaran.
Terolak pada asalnya tidak terlalu mementingkan kemantapan gaya langkah tetapi mementingkan kecepatan dalam bertindak.
Sekarang ini, sekiranya ada perbezaan kaedah belajar ianya adalah bertujuan untuk mewujudkan langkah-langkah yang bersistem, serangan tumbukan yang lebih tersusun. Sebelum ini silat Terolak tidak mementingkan tumbukan yang bergaya dan sebagainya kecuali cepat, mantap dan berkesan.
Tidak ada cara tumbukan yang khusus asalkan ianya tumbuk dan pihak lawan dapat menangkis serta serang kembali dengan kaedah “jual beli” dan akhirnya dapat menjatuhkan lawannya.
Silat Terolak tidak seperti silat dewasa ini yang mementingkan keindahan serangan, kemantapan sikap dan sebagainya.
Peringkat senjata dalam Silat Terolak adalah keris.
Perlimau
Perlimau adalah nama majlis sekiranya tamat sesi latihan sesuatu peringkat. Sekiranya tamat buah pertama silat Terolak, perguruan akan adakan sesi Perlimau. Perlimau menandakan pesilat akan sambung ke peringkat seterusnya dan tidak semestinya perlu mandi air limau atau sebagainya.
Dalam silat lain lazimnya perlimau diadakan upacara mandi bunga atau mandi limau purut tetapi sesi Perlimau Silat Terolak tidak mempunyai adat istiadat mandi. Sesi Perlimau Silat Terolak mempunyai sesi ujian untuk menilai ingatan dan kecekapan pesilat seterusnya sambung ke peringkat berikutnya.
Mandi bunga dalam silat Terolak adalah hanya untuk mengembalikan kesegaran badan. Mandi ini lazimnya menghimpunkan bunga yang berbagai jenis dan warna serta herba dalam air dan mandi seperti biasa. Ianya hanya untuk mengembalikan kekuatan badan setelah lenguh dalam latihan dan sebagainya.
Sejarah Mula Mengajar
Ketika berusia 15 tahun pada tahun 1979, selepas enam atau tujuh bulan berguru, Guru Utama telah mula mengajar silat Terolak kepada beberapa orang. Ketika sedang belajar telah mula mengajar orang.
Ianya bermula ketika sedang berlatih bersama rakan seperguruan, terdapat beberapa orang tertarik dengan cara latihan silat Terolak.
Anak murid yang berminat ketika itu terdiri daripada orang melayu dan beberapa orang pemuda cina.
Latihan Terolak yang cepat dan tubi kelihatan seperti senibeladiri cina ketika pelatih sedang mempelajarinya.
Ianya jauh berbeza dengan silat lain yang kelihatan seolah-olah silat pulut yang lemah lembut ketika zaman itu. Ketangkasan latihan Terolak dapat menarik minat pemuda lain untuk mempelajarinya. Selain Terolak, hanya muay thai di kawasan Padang Besar yang mengamalkan latihan gerak cepat.
Selebihnya hanya ada aliran silat kebatinan seperti silat Kandung Kandang Kalimah, Nasrul Haq dan sebagainya.
Silat yang bercorak tempur seperti Gayong Malaysia dan sebagainya belum muncul di daerah Padang Besar ketika itu.
Hubung Kait Terolak Dan Pusaka Tujuh
Terolak menjadi ilmu yang senantiasa diingati oleh Guru Utama. Walaupun setelah mempelajari beberapa aliran seni mempertahankan diri ketika berhijrah ke Kuala Lumpur seperti Karate, Vin Chun, Tai Chi dan silat Depowojo sehingga merantau belajar seni beladiri Cimande di Indonesia, tetapi Silat Terolaklah yang menjadi jati diri dan aliran yang Guru Utama gunakan ketika berada dalam keadaan genting.
Dapat dikatakan kemahiran Guru Utama lebih sebati dengan Silat Terolak kerana buahnya agak unik dan mudah digunakan. Lazimnya sekiranya terlibat dalam pertempuran, buah Silat Terolak lebih menepati dan berkesan untuk menumpaskan lawan.
Jadi apabila Pusaka Tujuh ditubuhkan, Guru Utama menggabungkan beberapa aliran silat dan seni mempertahankan diri termasuk Cimande dalam Pusaka Tujuh, aliran Terolak tetap diutamakan.
Walaupun Pusaka Tujuh menggunakan elemen silat dan seni mempertahankan diri lain dalam rangka memperkasakan gerak silat agar gerakan kaki menjadi mantap, kelebihan kecekapan tangan Terolak tetap dititikberatkan. Secara dasarnya serangan kaki diambil dari aliran Cimande dan teknik gulingan diambil dari aliran lainnya. Ianya bertujuan untuk menjadikan Pusaka Tujuh adalah silat yang mantap dan mampu berdaya saing di peringkat negeri, kebangsaan dan seterusnya antarabangsa.
Teknik aliran Terolak telah berjaya bantu pesilat pertubuhan merangkul satu pingat Perak Dunia dalam acara tanding, berbelas pingat Emas kebangsaan dalam acara seni dan tanding dan berpuluh pingat peringkat negeri.
Silat Terolak adalah aliran yang Guru Utama kekalkan tanpa merosakan keaslian tekniknya. Terolak adalah satu modul yang Guru Utama gunakan untuk mendidik dalam Pusaka Tujuh.